Saturday, July 31, 2010

T.A.Terfikir?? disebalik Mercedes-Benz.



PENGENALAN

Mercedes-Benz (juga disebut sebagai "Mercedes", "Benz" ataupun "Merc") adalah satu jenama Jerman bagi kereta, bas dan lori di bawah syarikat DaimlerChrysler (sebelum ini oleh Daimler-Benz dari tahun 1926-1998). Syarikat Daimler-Benz terbentuk pada 28 Jun 1926 hasil penggabungan 2 syarikat perintis automotif iaitu Benz & Cie. dan Daimler Motoren Gesellschaft (DMG). Pemilik kedua-dua syarikat tersebut iaitu Karl Benz (pemilik Benz & Cie.) dan Gottlieb Daimler (pemilik DMG) dianggap sebagai perintis kepada industri automotif berasaskan enjin petrol; kereta ciptaan Daimler adalah kereta kuda yang digerakkan oleh enjin manakala kereta ciptaan Benz dibina dengan kerangka rekaan sendiri.

Kedua-dua syarikat tersebut bergabung pada tahun 1926 membentuk Daimler-Benz, dan kemudiannya pada tahun 1998 Daimler-Benz bergabung dengan syarikat kereta dari Amerika Syarikat iaitu Chrysler untuk membentuk DaimlerChrysler. Malangnya, bahagian Chrysler sering mencatatkan kerugian besar sehingga menjejaskan pendapatan keseluruhan DaimlerChrysler, oleh itu DaimlerChrysler menjual sahamnya di dalam Chrysler dan meninggalkan baki 20% saham (minoriti).

SEJARAH

Sejarah Daimler-Benz bermula seawal 1880-an apabila Karl Benz (1844–1929) dan Gottlieb Daimler (1834–1900), bekerja dengan Wilhelm Maybach (1846–1929), masing-masing mencipta kereta yang digerakkan enjin pembakaran dalaman di selatan Jerman. Walaupun mereka hanya dipisahkan jarak sejauh 60 batu, masing-masing tidak menyedari hasil kerja satu sama lain.

Karl Benz mempunyai sebuah kedai di Mannheim dan mencipta kereta sebenar pertama yang digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman pada 1885. Kereta beroda tiga tersebut dinamakan sebagai Benz Patent Motorwagen. Sementara itu pula, Gottlieb Daimler dan rakan rekabentuknya Maybach, mencipta prototaip bagi rekaan enjin petrol model, dikenali sebagai "enjin jam besar" (grandfather clock engine). Kedua-dua Benz dan Daimler membuka syarikat kereta masing-masing iaitu Benz & Cie. dan DMG tidak lama kemudian. Menjelang 1900, Benz & Cie. menjadi syarikat automotif terbesar di dunia.

Pada tahun 1899, kereta DMG dijadikan kereta lumba oleh Emil Jellinek (1853-1918), seorang pengedar dan peminat automotif. Dalam perlumbaan, dia mengecat nama anak perempuannya, Mercedes, pada keretanya untuk mendatangkan tuah. Hasilnya, lahirlah model DMG tahun 1902 yang bakal menjadi siri kereta DMG Mercedes pertama iaitu Mercedes 35 hp. Jellinek juga turut diundang untuk menjadi ahli lembaga pengarah DMG dari tahun 1901 hingga 1909.

Selain membawa tuah kepada Jellinek, nama Mercedes juga mula diguna pakai oleh DMG untuk mengelakkan daripada masalah perundangan memandangkan DMG menjual hak eksklusif bagi nama Daimler kepada sebuah syarikat asing setelah kematian Daimler pada tahun 1900. Hasilnya, jenama kereta mewah Daimler dibina di England dan bukannya di Jerman.

Penamaan model

Sebelum tahun 1994, Mercedes-Benz menggunakan format lama penamaan model. Contohnya, bagi model 500E, 3 angka menandakan saiz sesaran enjin (bagi model ini: 5.5L) dan huruf terakhir menandakan jenis enjin atau kerangka, misalnya "E" bagi model suntikan bahan api ("Einspritzung" dalam bahasa Jerman), "D" untuk Diesel, "L" untuk Tapak Roda Panjang, dsb.

Pada tahun 1994, sistem penamaan tersebut diubah untuk membolehkan Mercedes-Benz mengkelaskan model mereka, dimulai dengan imbuhan awal huruf kelas dan diikuti dengan 3 angka sesaran. Namun demikian, sesetengah model baru masih mempunyai imbuhan akhir huruf untuk ciri spesifik, seperti "L" untuk Tapak Roda Panjang dan "CDI" untuk enjin diesel Suntikan Terus Rel Sepunya (Commonrail Direct Injection). Dengan ini, model 500E di atas akan dikenali sebagai E500 (E-Class, sesaran enjin 5 liter). Harus diingat, bagi sistem lama, 3 angka sesaran sememangnya menunjukkan sesaran enjin yang sebenar, tetapi bagi sistem baru pula angka-angka tersebut tidak semestinya menunjukkan sesaran sebenar - misalnya, kedua-dua model E200 CDI dan E220 CDI sebenarnya menggunakan enjin yang sama iaitu 2.2L, dan model C240 sebenarnya menggunakan enjin 2.6L. Selain itu, terdapat perbezaan besar bagi kuasa kuda (dan harga) bagi kereta yang mempunyai nombor enjin yang sama tetapi kelas yang berbeza, seperti antara C55 dan SL55.

Inovasi

· Pembinaan Sel Keselamatan atau Sangkar Keselamatan dengan zon remukan hadapan dan belakang mula dibangunkan oleh Mercedes-Benz pada tahun 1951.

· Sistem brek cegah kunci (ABS), beg udara dan kawalan cengkaman yang kini menjadi piawaian kereta-kereta buatan Eropah adalah hasil inovasi oleh Mercedes-Benz.

· Pada September 2003, Mercedes-Benz memperkenalkan kotak gear automatik 7G-TRONIC dengan bilangan gear terbanyak pada masa itu iaitu 7 kelajuan.

· Sistem pra-perlanggaran Mercedes-Benz menggunakan radar untuk mengesan kemungkinan perlanggaran dan membolehkan sistem-sistem keselamatan bersiap sedia untuk tindak balas optimum, termasuklah mengetatkan tali pinggang keledar, menutup tingkap dan bumbung suria, dan menggerakkan tempat duduk ke posisi optimum.

· Mercedes-Benz sedang dalam proses pembangunan sistem pengesanan kelesuan yang akan memberi amaran sekiranya pemandu mengantuk dan menunjukkan tanda-tanda hampir tertidur (jika mata tertutup lebih lama daripada kelipan mata yang biasa). Sistem akan mengumpul data mengenai gaya pemanduan, tempoh perjalanan, waktu perjalanan serta keadaan trafik.

· Kereta (pengeluaran) transmisi automatik terpantas di dunia ialah Mercedes-Benz SLR McLaren dengan kelajuan maksimum 334 km/j, hasil usaha sama DaimlerChrysler dan McLaren Automotive.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...